Thursday, March 19, 2009

Kenapa Takut dengan Hudud...


Perlu diberi penjelasan berkenaan dengan hukum Hudud kerana ia sering dicemuh oleh golongan yang anti-Islam dan seringkali diberi gambaran yang salah dan mengelirukan dengan tujuan untuk menjadikan manusia liar dan liat dengan hukum Allah seluruhnya. Sehingga orang islam sendiri yang menghalang pelaksanaan hukum Allah dengan menjadikannya isu politik.

Dalam hal ini, undang-undang Islam memberi penekanan dalam dua perkara yang penting, yang pertama dalam hubungan manusia dengan Tuhan yang menciptanya dan kedua hubungan manusia sesama manusia. Oleh itu maka ia membawa dua maslahat, iaitu maslahat dunia dan maslahat akhirat. Perkara ini bukan sahaja dalam urusan ibadat, tetapi juga dalam urusan duniawi, dalam urusan muamalat, munakahat, jenayat dan lain-lain, contohnya dalam perkara jual -beli yang berkaitan dengan perniagaan.

Dalam perkara jenayah pula, seperti hukum qisas, hudud dan takzir merupakan hukum zahir, dosa pahala yang dikaitkan selepas kematian dan dibangkitkan semula pada hari akhirat merupakan hukuman yang menguasai roh, yang menguasai batin manusia itu.

Oleh itu dalam perkara yang berkait dengan jenayah, Islam telah mencegah perlakuannya melalui penguasaan hati dan roh dalam berhubungan beriman dengan Allah dan beribadat kepadaNya dan hukuman zahir melalui deraan- deraan yang dikenakan kepada jasad yang sama ada yang dinamakan qisas, hudud ataupun takzir seperti hukum bunuh, sebat penjara dan lain-lain lagi.

Oleh kerana penekanan dalam masalah undang-undang jenayah menjadi perbualan umum, suka dijelaskan sekali lagi untuk menjadi titik tolak perbincangan dalam dewan mengenainya diteruskan. Iaitu Islam telah membahagikan undang-undang jenayah itu kepada 3 bahagian:

Yang pertama : Qisas iaitulah hukuman balas yang setimpal dalam jenayah meluka atau mencederakan yang dinyatakan secara nas oleh Al-Quran dan As-Sunnah dalam perkara yang berkait dengan manusia.

Yang kedua : Hudud, iaitu hukuman yang dihadkan kadarnya oleh Syarak dalam jenayah yang dikaitkan dengan hak Allah, yang dimaksudkan ialah kepentingan umum dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan orang ramai atau masyarakat.

Yang ketiga : Takzir, iaitu berkaitan dalam perkara yang tidak dinaskan oleh Syarak, maka ia diserahkan kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menentukan di atas prinsip amar makruf dan nahi mungkar dan menjaga kepentingan agama dan dunia dengan seadil-adilnya.

Oleh kerana kita tidak mahu menumpukan penjelasan berkenaan dengan hukum hudud, disebabkan desakan yang memerlukan penjelasan, maka penjelasan secara ringkas perlu dilakukan, supaya gambaran undang-undang ini tidak berlaku sewenang-wenangnya.

Islam telah menetapkan syarat-syarat yang terlalu ketat berhubung dengan penyaksian dalam perkara ikrar, pengakuan kepada sesuatu kesalahan mestilah oleh orang yang berakal secara sukarela, bukan secara paksaan, dalam keadaan siuman, tidak mabuk atau gila.

Sementara orang yang berikrar pula boleh menarik balik, walaupun ketika hukuman sedang dijalankan dan hukuman itu hendaklah diberhentikan. Mengikut undang-undang Islam, sekiranya seseorang itu disebat dan dengan sebab pengakuan kesalahan, ketika sedang disebat dia menarik balik pengakuannya, maka hukuman itu diberhentikan serta merta.

Oleh kerana itu, ketika hukuman dijalankan, pesalah tidak boleh diikat atau digari, begitu juga dalam perkara saksi, mestilah dari kalangan orang-orang yang layak, bukan sahaja pancaindera dan akal fikiran,tetapi juga akhlak-akhlak yang mulia iaitu tidak fasiq dengan melakukan dosa-dosa besar, kekal dengan dosa-dosa kecil dan melakuakn perkara yang boleh menjatuhkan maruah walaupun tidak haram.

Sebarang syarat kekurangan, syarat saksi ataupun menarik balik penyaksian, maka tuduhan digugurkan di mana para peguamdibenarkan untuk meneliti semua perkara ini, bukan sahaja para hakim.

Dipetik dari ucapan Presiden PAS.

AB Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

0 comments: