Wednesday, May 6, 2009

Mungkin Dia Nak Masuk Islam...?


Salam. Baru2 ni kita semua terperanjat dengan kes seorang cina non muslim mewakili parti DAP membaca ayat suci al – Quran dalam ucapannya. So, ada banyak pihak yang memberi komentar. Dan saya rasa banyak dari komentar kawan2 kita ni dipengaruhi oleh media tanpa ilmu agama yang melayakkan dia menilai kes ini dan juga tanpa merujuk orang2 pakar dalam bidang ni. Pendek kata , media telah memanipulasi emosi audien. Bila media kate, “ ape la golongan ulama ni masih sanggup bersekongkol dengan orang non muslim yang mempersendakan ayat quran. Dah la baca yak betul (p/s : macamlah kita yang islam ni baca betul sangat ), takkan kita tak rasa tercabar?” macam ni la lebih kurang yang dikatakan media.

Masa kawa2 saya tengah sebok dok sembang benda ni, saya tak nak komen banyak sangat sebab saya pun kurang pasti. Tapi sekarang saya ada sumber yang menunjukkan sikap ulama dan komentar beliau terhadap kes ni. Jadi saya sengaja nak kongsi biar penilaian yang kita buat lepas ni terarah sedikit, bukan dengan mengikut emosi.

Berikut adalah surat Tok Guru Nik Aziz kepada YB Nga Kor Ming (dipetik daripada www.blogtokguru.bom). Surat yang ditulis sebagai respon kepada isu penggunaan ayat al-Qur'an oleh bukan Islam. Sangat menyentuh jiwa, bila baca, dapat rasakan indahnya dakwah...

Surat Kepada YB Nga Kor Ming ADUN Pantai Remis Perak

Kategori: Isu Semasa

13 Rabiul Akhir 1430

9 April 2009

YB Encik Nga Kor Ming

EXCO Kerajaan Negeri Perak

Pejabat EXCO Negeri Perak

30000 Ipoh

PERAK DARUL RIDZUAN.

Menemui YB Encik Nga dengan ucapan salam sejahtera

Yang Berhormat,

Alhamdulillah, dengan izin Allah, saya telah mengikuti isu di sekitar percubaan YB untuk mengenali Islam melalui pembacaan Ayat-Ayat Al-Quran dengan tekun. Saya juga terharu mendengar keluhan YB yang berbunyi "saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan Al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang."

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB. Mudah-mudahan dengan sikap "tidak mesra Umno" dan pemimpin-pemimpin Umno tentang kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia akan meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami dan mengadakan forum serta wacana mengenai Islam dengan cara yang lebih meluas.

Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan akan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara. Kalau Jenghiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya yang bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya. Maka saya mempunyai keyakinan yang kuat bahawa Islam akan kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang akan meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita bina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog dan wacana. Tajuk-tajuk seperti "dimana tak kenanya Islam" atau "apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam" bolehlah difikirkan. Anggota panel boleh terdiri daripada tokoh-tokoh PAS, Umno, DAP, PKR dan pemimpin-pemimpin NGO, pensyarah serta pendakwah bebas. Ia boleh dijadikan sesi kuliah bersiri yang boleh dianjurkan di PWTC, di masjid-masjid, surau-surau, kuil-kuil dewan-dewan perhimpunan, di universiti-universiti, baik di IPTS atau IPTA.

Sekali lagi saya mengucapkan syukur kepada Allah S.W.T di atas kekuatan dan keberanian yang ada pada YB. Terus tekun dan beristiqamahlah dalam mengharungi ujian-ujian ini. Insya Allah saya seakan-akan sedang melihat sekerdip lilin yang bercahaya di hujung sana. Marilah kita sama-sama ke sana.

* MEMBANGUN BERSAMA ISLAM *

(TUAN GURU DATO' HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT)

Menteri Besar Kelantan

Merangkap

Mursyidul Am PAS

0 comments: