Tuesday, May 12, 2009

Biar Rakyat yang Pilih


KUALA LUMPUR 12 Mei - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan pilihan terbaik Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mengembalikan semula penghormatan rakyat terhadap institusi raja di negeri itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, sekarang masanya untuk baginda menunjukkan kesaksamaan sekali gus berpeluang untuk keluar daripada kemelut dengan tahap imej lebih tinggi.

Beliau berkata, institusi diraja Perak yang amat dihormati sebelum ini juga mempunyai peluang tersendiri menunjukkan kesaksamaan.

"Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati.

"Peluang institusi diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka," katanya dipetik daripada laman blognya, husammusa.com.

Mahkamah Tinggi semalam memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali hari ini membenarkan Datuk Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Mohamad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Husam menambah, pembubaran itu tidak semestinya menguntungkan Pas dan pakatan pembangkang kerana rakyat Perak kelak tidak semestinya akan kembali mengundi mereka.

"Apa pun, pembubaran DUN tetap langkah terpuji yang membuktikan Pas dan pakatan pembangkang adalah pemain demokrasi yang jujur dan cermat serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas. Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan," katanya.

0 comments: